CYBERCAFE (CC) YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

CyberCafe (CC) yang tidak bertanggungjawab - 26 Mei 2009 (Selasa)

Pada 26 Mei 2009 (Selasa), satu panggilan dari sekolah dan balai polis Papar membuatkan saya tersentak seketika. Anak lelaki kelima saya yang menuntut di dalam tingkatan satu telah ditangkap polis kerana didapati berada dalam CyberCafe dengan pakaian seragam sekolah. Saya diberitahu yang hanya ibubapa yang boleh menjaminnya keluar dari tahanan balai polis. Saya terpaksa berdepan dengan Pegawai saya dan membuang masa dengan perjalanan sejauh 40km iaitu dari bandaraya Kota Kinabalu ke pekan Papar.

Apabila sampai di Papar, saya diberitahu oleh balai polis Papar yang anak saya sudah dijamin oleh guru disiplin sekolahnya kerana tidak dapat menunggu kehadiran saya. Terus saja saya ke sekolah untuk mengesahkan perkara ini. Kejadian ini mengganggu pemikiran dan perasaan saya sebagai seorang bapa. Saya sangat sedih. Tetapi apabila emosi sudah reda, saya mulai menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kejadian ini.

Soalan demi soalan mula bermain di ruang kepala saya. Sepatutnya CC juga harus dikenakan tindakan sebab membenarkan murid-murid yang berpakaian seragam masuk ke dalam premis mereka. Kenapa CC tersebut tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh polis? CC ada kuasa mutlak untuk menghalau murid-murid yang berpakaian seragam. Sebaliknya tidak, malah menyediakan pula pakaian biasa untuk melapisi dan menyembunyikan pakaian seragam sekolah. Di setiap dinding pintu masuknya pun terlekat amaran. Buat apa mereka tampalkan amaran tersebut tetapi tidak dilaksanakan. Kemungkinankah ada MOU di antara pihak berkuasa dengan CC? Di Papar sahaja, terdapat lebih kurang 10 buah CC. Ketika membuat lawatan ke salah sebuah CC tersebut untuk memeriksa e-mail, saya sempat meninjau keadaan sekeliling. Kebanyakan yang ada di dalam adalah remaja dan kanak-kanak yang hanya bermain online game dan menghasilkan bunyi yang sangat bising sehingga membuatkan saya sukar untuk menumpukan perhatian. Dalam pengamatan saya, kanak-kanak paling muda yang berada di dalam CC tersebut berumur sekitar 10 tahun. Ini satu penemuan yang hebat dan menjijikkan. Takkan pengendali CC itu tidak mengetahui yang kanak-kanak tersebut masih di bawah umur. Mereka menutup kedua belah mata kerana, yang ada dalam hati dan fikiran mereka ialah untuk mengaut keuntungan sahaja. Di manakah undang-undang? Pihak berkaitan yang berkuasa, tolonglah perbetulkan situasi ini sebelum ianya menjadi kronik! Sebagai ibubapa, kita hanya mampu untuk memarahi atau menasihati anak-anak kita. Tetapi kita tidak berupaya untuk memantau pergerakan mereka 100%. Jadi, sekali lagi saya mohon kepada yang berkaitan dan yang berkuasa agar memperbetulkan keadaan ini dengan segera sebelum terlambat!

Sukad

29 Dis 2009

Papar.

Comments