LAWATAN NGERI KE IBUPEJABAT JABATAN TANAH DAN UKUR KOTA KINABALU


Tanggal 03 Disember 2009 adalah tarikh yang sukar kami suami isteri lupakan iaitu tarikh di mana kami ke ibupejabat Tanah dan Ukur Kota Kinabalu bagi mengetahui status permohonan tanah isteri yang sudah berlarutan selama 8 tahun sejak 2001. Episod ngeri tersebut bermula ketika kami masuk dan bertanya kepada kaunter pengawal keselamatan di mana kami boleh mengetahui status permohonan tanah bagi kawasan Papar (Pantai Barat Selatan). Kami di suruh untuk mengisi buku pelawat dan di arah untuk ke tingkat 3. Di kaunter tingkat 3, tiada siapa yang melayan kami walaupun ada manusia yang berkeliaran. Mereka cuma memandang kami dan meneruskan urusan masing masing. Saya mundar mandir kerana rimas dengan keadaan tersebut. Setelah agak lama tidak dilayan, kami terpaksa melakukan serangan berani mati dengan memasuki ruang pejabat. Barulah ada manusia-manusia yang kelam kabut cuba menjawab pertanyaan kami. Setelah diperiksa dalam rekod Komputer, kami disuruh melanjutkan pertanyaan ke kaunter 7 ataupun 8 di ground floor.

Maka turun lah lagi kami. Nasib baik ada lif. Kalau tidak, kapus-kapus juga kami dibuatnya. Bila sampai di kawasan kaunter, kami pun mengambil nombor mengikut kaunter yang diberitahu. Saya perhatikan yang kaunter no 7 dan 8, kosong. Tiada orang kecuali 2 monitor computer dan keyboardnya. Setelah menanti selama hampir setengah jam, nombor belum juga dipanggil dan kaunter 7 dan 8 juga masih kosong. Saya mula rimas. Ini tidak boleh jadi ni. Sesuatu harus dilakukan. Kali ini, serangan dilakukan oleh isteri terhadap kakitangan yang bertugas di kaunter 6. Kakitangan tersebut memberitahu isteri saya agar bersabar kerana nombor akan dipanggil sebentar lagi. Bila ditanya dimanakah kakitangan bagi kaunter 7 dan 8, beliau hanya berdiam diri. Baru lah saya sedar bahawa kakitangan ini juga melakukan kerja bagi pihak kaunter 7 dan 8 kerana beberapa kali dia berpindah komputer diantara kaunter 6, 7 dan 8. Ke manakah agaknya 2 orang kakitangan tersebut? Dan kenapakah kakitangan tadi seperti melindungi kakitangan yang hilang itu? Bila nombor kami dipanggil, saya dengan isteri segera ke kaunter, dengan harapan agar Semua persoalan selama 8 tahun itu terjawab. Namun satu lagi kejutan iaitu kami disuruh untuk datang pada 01 Januari 2010 untuk temujanji berkaitan pertanyaan kami yang mudah ini. Ianya adalah lebih kurang sebulan akan datang. Dalam dunia yang canggih dan ‘computerized’ ini, kenapa soalan yang mudah ini boleh mengambil masa sebulan untuk dijawab? Kami yang datang dari Papar terpaksa menunggu sebulan lagi untuk mendapatkan jawapan kepada soalan yang mudah. Bagaimana dengan orang kampung dari ulu yang datang dari Tongod? Nampaknya, semakin canggih Kerajaan kita, semakin mundur pula prestasinya.

Oleh kerana tidak puas hati dengan jawapan tersebut, kami memohon untuk bertemu dengan Pegawai yang bertanggungjawab terhadap permohonan kami di mana kami diarah untuk ke tingkat enam. Pegawai tersebut melayan kami dengan baik dan cuba untuk memeriksa status permohonan melalui komputer. Ternyata surat ulasan sudah dibuat sejak oktober 2009 lagi dan sudah di ‘pass’ kepada Pegawai tertentu untuk di tandatangani. Kami bertanya jika boleh bertemu dengan Pegawai berkaitan. Kami dirujukkan kepada bilik yang bersebelahan sahaja. Kami yang datang dari jauh dan sudah menunggu lebih 8 tahun terasa sangat teruja untuk meneruskan perjuangan pada hari tersebut. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Bila pintu diketuk, seorang gadis manis berbangsa cina menyapa dengan mesra sekali dan bertanya akan hajat kami. Kami pun memberitahu dengan senang hati. Bila diperiksa rekodnya, surat sudah di tandatangani dan sudah juga di ‘pass’kan kepada Pegawai seterusnya untuk di ‘update’ ke dalam sistem komputer. Sekali lagi kami memohon untuk bertemu dengan Pegawai seterusnya. Kami ditunjukkan arah dengan sopan dan baik. Tetapi sebaliknya yang berlaku ketika kami memasuki ruang Pegawai yang satu ini. Di sinilah kejutan terbesar yang kami alami. Macam mimpi buruk yang sukar dilupakan di mana dia menjawab dengan kasarnya dan menyuruh kami kembali ke kaunter semula kerana semua jawapan ada di kaunter katanya. Tersinggung dengan jawapan yang kasar, saya bertahan dan memaklumkan yang saya tidak faham dengan apa yang sedang berlaku. Dia berkeras yang jawapan hanya dapat diberi di kaunter dan bukannya ‘direct’ daripada Pegawai. Kami diperlakukan seolah-olah kami ini bersalah besar. Kami dari kaunter diarah naik ke tingkat-tingkat tertentu seperti bola untuk mencari jawapan kepada persoalan yang telah berlarutan selama 8 tahun tetapi akhirnya diherdik kembali ke kaunter permulaan sedangkan kaunter yang sepatutnya bertanggungjawab memberi penjelasan tidak berfungsi kerana manusia yang seharusnya mengendalikan kaunter tersebut hilang entah ke mana. Di manakah keadilan? Adakah kami bersalah kerana menunggu selama 8 tahun? Jika surat ulasan sudah dibuat dan ditandatangani pada oktober 2009 yang lalu, mengapa ianya tidak dapat diberi ‘on the spot’? Mengapa harus turun naik tingkat, diherdik dan disuruh menunggu 1 bulan lagi untuk hanya mendapat jawapan kepada soalan yang mudah? Nampaknya konsep 1Malaysia tidak akan tercapai. Saya ngeri dan sangat sedih pada hari tersebut.

Comments